Cermin kereta dipecah, beg lesap di Chendering

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU- Seorang kerani tidak menyangka tindakannya meninggalkan beg tangan di dalam kereta hanya beberapa saat mengundang padah apabila beg tangan tersebut dilarikan penjenayah, dalam satu kejadian di Chendering, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa, 45, meletakkan kereta jenis Perodua Myvi miliknya di tepi sebuah kedai di jalan besar Chendering, untuk ke sebuah salon kecantikan yang terletak berhampiran.

Menurut sumber, mangsa bersama seorang anak dan anak saudaranya telah masuk ke dalam salon kecantikan berkenaan dengan meninggalkan beg tangan miliknya di tengah pemegang brek tangan di dalam kereta tersebut.

“Bagaimanapun, hanya dalam beberapa saat ketiga-tiga beranak ini masuk ke dalam salon itu, mereka telah terdengar bunyi yang sangat kuat seolah-olah ada benda pecah dari arah lokasi mereka meletakkan kenderaannya.

“Terkejut dengan situasi itu, ketiga-tiga mereka terus keluar dari salon sebelum ternampak kelibat seorang lelaki tidak dikenali lari dalam tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback sebelum melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, melihatkan situasi yang agak kelam kabut itu, mangsa berasa tidak sedap hati sebelum mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan ke atas kenderaannya dan terkejut selepas mendapati cermin sebelah kiri pemandu telah dipecahkan.

“Mangsa terus membuat pemeriksaan selanjutnya di dalam kereta sebelum mendapati beg tangan miliknya yang diletakkan di tengah pemegang brek tangan telah lesap.

“Di dalam beg tangan tersebut mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad dan buku bank milik mangsa serta wang tunai RM1,100,” katanya.

Jelasnya lagi, susulan kejadian, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Chendering untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, suspek berjaya ditangkap dalam tempoh empat jam selepas laporan dibuat.

“Suspek yang memiliki rekod jenayah lampau ini berjaya ditangkap dan segala dokumen penting milik mangsa ada bersama suspek semasa dia ditahan kecuali wang tunai yang dipercayai berjumlah RM1,100.

“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan,” katanya. -sh

Related posts

Leave a Comment