Dewan khas akan dibina untuk mangsa banjir di Terengganu – MB

Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman.

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu akan membina dewan khas bagi menempatkan mangsa banjir di kawasan strategik agar mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada sekolah sebagai pusat pemindahan banjir pada masa depan.

Mengumumkan demikian, Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, bagi Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, sebuah dewan akan dibina di kawasan Masjid Tok Jembal sebagai projek contoh.

Program tersebut sesuai dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara baru-baru ini.

“Kita akan bina tahun ini juga selepas Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menyediakan reka bentuk khas yang lengkap dengan bilik air, bilik mandi, ruang memasak, dewan makan serta dewan untuk mengadakan program,” katanya.

Ahmad Razif bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang bantuan awal persekolahan 2015 di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 726 pelajar menerima bantuan awal persekolahan melibatkan peruntukan RM72,600.

Sebelum itu beliau menyampaikan bantuan yang sama kepada 823 murid SK Teluk Ketapang dengan jumlah RM823,000.

Ahmad Razif berkata selain di Tok Jembal, beberapa buah dewan akan juga dibina di kawasan Kemaman dan Dungun yang sering dilanda banjir.

Beliau berkata peruntukan RM100,000 telah diluluskan untuk dewan pusat pemindahan mangsa banjir di Kuala Jengai, Dungun, dinaik taraf.

Sementara itu Ahmad Razif berkata kira-kira 6,000 orang sukarelawan dari negeri itu telah ke negeri Kelantan bagi membantu mangsa banjir secara bergilir-gilir. – Bernama

Related posts

Leave a Comment