Dua penjenayah cuba pecah rumah mati ditembak

SHAH ALAM – Dua penjenayah bersenjatakan parang dan pisau celoret berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai Geng Rantau mati ditembak di kawasan semak samun di Jalan Platinum, Seksyen 7 di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, seorang lagi ahli kumpulan tersebut berjaya melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai satu kejadian cubaan pecah rumah kira-kira pukul 3.40 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, polis terserempak dengan tiga suspek terbabit yang kemudian bertindak agresif dan cuba melawan dengan menggunakan parang.

“Kami terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan dua suspek mati di tempat kejadian manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya berjaya merampas pisau celoret dan parang serta alat pecah rumah milik ketiga-tiga penjenayah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah. – K! ONLINE

Related posts

Leave a Comment