Gempar! Orang Minyak ‘Mengganas’ Cari Anak Dara

KOTA BHARU – Penduduk Kampung Pengakalan Demit, Kubang Kerian, di sini dilanda ketakutan dengan dakwaan kewujudan lembaga hitam yang menyerupai manusia sering menceroboh di kampung itu sejak sebulan lalu.

Kejadian terbaharu berlaku pada 9 pagi hari ini apabila seorang remaja perempuan berusia 17 tahun diganggu ‘lembaga’ itu ketika sedang menyidai pakaian di belakang rumahnya.

Nik Anis Ashira Kamarulzaman mendakwa dia dicekik di leher, diikat dengan tali di bahagian kaki, tangan dan perut selain terdapat kesan minyak hitam di leher dan kaki mangsa.

“Saya tidak dapat berfikir seperti kena pukau dan hanya tersedar selepas kelibat lelaki itu mencekik leher saya. Tangan, kaki dan bahagian perut saya diikat dengan tali.

“Jerutan yang kuat di bahagian perut membuatkan saya sesak nafas. Saya menjerit meminta tolong sebelum kelibat itu lari melalui tingkap dapur rumah,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian II itu, memetik laporan sebuah portal berita tempatan.

Difahamkan, jirannya datang membuka ikatan dan menghubungi bapa serta adik lelakinya yang sedang bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran rumah.

Sementara itu, bapa mangsa, Kamarulzaman Mat Yunus, 44, berkata, rumahnya serta tiga lagi rumah jiran diganggu kelibat seakan-akan orang minyak sejak sebulan lalu.

“Kami penduduk kampung berjaga, mengepung dan melakukan solat hajat, namun orang minyak ini tetap menganggu.

“Sebanyak empat rumah di kampung ini menjadi mangsa balingan batu hingga menyebabkan cermin tingkap pecah. Ada penduduk melihat kelibat orang minyak, namun usaha menangkapnya tidak berjaya,” katanya.

Difahamkan, bapa mangsa sudah membuat laporan kejadian di Balai Polis Kubang Kerian, tengah hari ini. -MYNEWSHUB.CC

Video sekadar hiasan…

Related posts

Leave a Comment