Gerakan mencari Rafikin giat dijalankan

Khidmat anjing pengesan digunakan mengesan adik Rafikin yang hilang di Sekayu.

Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan khidmat anjing pengesan bagi menjejak seorang pelajar tingkatan empat yang dilaporkan hilang sewaktu menyertai acara maraton di Sekayu, Kuala Berang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, setakat lima petang tadi, usaha mencari Ahmad Rafikin Azman, 16, masih gagal sehingga pihaknya terpaksa menggunakan empat ekor anjing pengesan polis dalam operasi
itu.

“Kita juga menambah anggota penyelamat kepada 92 berbanding 42 orang pada sebelah pagi tadi berikutan keadaan cuaca di samping permukaan jalan yang licin.

“Walaupun hujan dan cuaca gelap, kita akan teruskan usaha sehingga berjaya menemui mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekayu, di sini hari ini.

Mangsa seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, dilaporkan hilang setelah tidak menamatkan perlumbaan maraton Gunung Gajah Terom dan bapanya Azman Othman, 50, membuat laporan polis kira-kira 6 petang semalam.

Kronologi Kes Rafikin hilang di Sekayu

Azman sebelum itu memaklumkan kepada penganjur bahawa dia tidak menemui Ahmad Rafikin yang akan diambilnya pada 3 petang selepas perlumbaan itu.

Dato; Ahmad Razif diberi taklimat mengenai usaha mencari dan menyelamat Rafikin petang semalam.

Operasi mencari dan menyelamat, yang membabitkan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Rela serta penduduk kampung itu, turut disertai anggota keluarga mangsa.

Abang mangsa, Ahmad Ridhuan Azman, 27, berkata beliau bersama bapanya mula menyertai operasi yang bermula kira-kira 8 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat terkini usaha mencari dan menyelamat adik bongsunya itu.

“Laluan yang mencabar serta licin serta di tambah dengan hujan lebat menambahkan lagi kesukaran kami bersama pihak penyelamat mencari adik saya.

“Jika tersilap langkah, kita akan terjatuh ke dalam gaung. Namun saya dan ayah berharap adik selamat dan kami sekeluarga sudah bertekad untuk tidak berputus asa sehinggalah dapat menemui adik,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Rafikin merupakan seorang yang aktif dan amat meminati sukan lasak dan mereka sekeluarga sentiasa menyokong minatnya itu, namun tidak menyangka insiden seumpama itu berlaku kepada mangsa.

Dalam pada itu, penduduk kampung serta 29 pelajar pondok Darul Iman turut mengadakan solat hajat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat itu. – Bernama

Related posts

Leave a Comment