Izreen Lebih Tenang Sejak Tutup Ruangan Komen IG

PELAKON sensasi Izreen Azminda mengakui hidupnya lebih tenang selepas menutup ruangan komen di akaun laman sosial Instagram.

Malah, pelakon wanita itu turut mendedahkan bahawa dia juga jarang membuka mahupun membaca sebarang mesej peribadi (direct message) yang dihantar oleh netizen di laman berkenaan.

Jelasnya, dia mengambil langkah untuk membiarkan sahaja bagi mengelakkan daripada terbaca sesuatu yang mungkin akan mengguris hatinya sendiri.

“Saya lebih tenang dengan keadaan sekarang apabila tutup ruang komen sebab saya tidak suka perbalahan atau komen negatif. Malah, saya juga tidak suka benda-benda ini ada di dalam Instagram saya.

“Kalau netizen yang mengata mahupun menfitnah saya, biarlah tempat lain tapi bukan di Instagram saya,” katanya dipetik sebuah portal hiburan.

Menurut Izreen lagi, dia turut menutup ruangan komen kerana tidak mahu suami tercinta iaitu Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih mesra disapa sebagai Ude terus menjadi mangsa ‘serangan’ netizen.

Pada masa sama, Izreen turut memberitahu bahawa dia tidak mahu terus dihantui oleh komen-komen negatif yang diberikan oleh netizen

“Saya sayang suami dan saya tidak mahu orang mengata tentang suami saya. Kalau nak mengata saya, tidak apa kerana saya sudah lama juga dalam industri dan sudah biasa terima semua ini.

“Tetapi suami saya tidak biasa. Saya tidak mahu orang kecam suami saya,” ujarnya lagi.

Nama Izreen mula menjadi bualan ramai selepas berita perkahwinannya dengan Ude yang sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak menjadi tular.

Susulan perkara itu, pelbagai tohmahan dan hinaan telah dilemparkan kepada pelakon wanita ini kerana dianggap sebagai ‘perampas’ suami orang. – MYNEWSHUB.

Related posts

Leave a Comment