Karyawan Rai 150 Penggiat Seni Sempena Syawal

Seramai 150 penggiat seni diraikan dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) baru-baru ini.

Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata, “Secara keseluruhan kami berjaya mengumpul sebanyak RM5,000 untuk diagihkan kepada anak-anak yatim dan ahli Karyawan sempena majlis ini.”

Beliau memberitahu Bernama ketika ditemui pada majlis itu di Hotel Adamson Sabtu lalu. Turut diraikan ialah anak-anak yatim dari Pusat Kebajikan Rumah Perlindungan Teratak Nur Insan KL dan Selangor.

Pada majlis berkenaan, kumpulan artis wanita Malaysia di bawah pimpinan penyanyi Datuk Yusni Hamid, terdiri dari Rozita Rohaizad, S. Mariam dan lain-lain telah membuat persembahan Marhaban.

Lagu-lagu Marhabban yang dipersembahkan ialah Marhaban, Panduan Islam dan Selamat Hari Raya versi Datuk Ahmad Jais.

Artis-artis yang hadir termasuk Datuk Paduka Julie Sudiro, pelakon 50an-60an Salmah Ahmad, Aspalela Abdullah, Hamidah Ueip, Ayati Tasrip, Masitah Zulgan, Azizah Aziz, Aizom Othman, S. Rohani, Muhaini Suratman, Mak Jah, Wan Halimatussaadiah (Mak Wan), Yasin, Radhi Khalid, Din Maidin (sebagai Detektif Lingam dalam drama aksi Gerak Khas), dan lain-lain.

Antara juadah yang disediakan termasuk sate, lontong, kuah kacang, ketupat dan lemang.

Terdahulu, Mesyuarat Agung kali ke-19 Karyawan diadakan bagi membincangkan isu royalti dan hala tuju persatuan, pembikin filem muda, dan penggiat industri hiburan amnya.

“Kami amat bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik antara ahli dan jawatankuasa serta berharap 2018 menjadi tahun yang lebih aktif dan membawa faedah kepada ahli Karyawan sekaligus membantu mereka lebih berjaya dalam industri,” kata Freddie.

Karyawan yang ditubuhkan pada 15 Feb, 1992, kini mempunyai 6,000 ahli. – BERNAMA

Related posts

Leave a Comment