Manifesto BN: LPT3 bakal rancakkan ekonomi rakyat – MB Razif

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat akan membina Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan manifesto Barisan Nasional, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, LPT3 itu bermula dari Tepoh, Kuala Nerus terus ke Kota Bharu.

Katanya, dengan adanya LPT3 ianya akan merancakkan lagi ekonomi rakyat di Terengganu terutamanya penduduk di sebelah Kuala Nerus, Besut dan Setiu.

“Memang menakjubkan, belum pernah sebelum ini manifesto utk PRU14 ini dibentang sebegitu rupa, lebih-lebih lagi manifesto kepada setiap negeri pun ada.

“Alhamdulillah negeri Terengganu telah diluluskan untuk LPT3, bukan kecil tu kerana saya difahamkan tidak kurang daripada RM2.4 bilion projek ini yang sudah pasti akan menjadi pemangkin untuk merancakkan ekonomi negeri Terengganu.

“Bermakna sekarang ini lengkaplah jalinan pengangkutan negeri terengganu dengan adanya lapangan terbang bertaraf antarabangsa, adanya ECRL, LPT2 dan 3, dan jaringan jalan raya yang lain.

“Sudah pasti ini akan membantu menyelesaikan masalah trafik di Terengganu dan meningkatkan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat.

“Kita amat berterima kasih kepada YAB PM atas manifesto yang begitu hebat, di luar kebiasaan dan mencabar kelaziman,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Perantau Kuala Nerus, di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri lebih 1,000 orang perantau yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur dari Kuala Nerus.

Selain dari itu, Ahmad Razif juga berkata, BR1M yang baharu sudah pasti akan membantu rakyat.

“Mereka akan memperoleh manafaat daripada apa yang telah diumumkan dan ini juga jelas menafikan bahawa Malaysia sebuah negara yang bankrap, negara yang ekonominya tidak bagus.

“Yakin dan percayalah bahawa berdasarkan pengumuman yang dibuat dan manifesto yang diberi, berasas kepada kemampuan dan akujanji kerana kerajaan BN tidak pernah mungkir janji, apa yang dijanji akan dilaksanakan.

“Inshaa Allah ini akan memberi satu kekuatan utk memastikan pru14 akan menjadi milik BN,” tambahnya lagi.

Sumber: Terengganu News

Related posts

Leave a Comment