MBKT gagal jelaskan tuntutan elaun pekerja

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) didakwa gagal menjelaskan bayaran tuntutan elaun lebih masa kepada lebih 300 kakitangan terutama pekerja am dan pemandu sehingga tertunggak sejak September tahun lalu.

Berikutan kegagalan itu, lebih 150 pekerja am pihak berkuasa tempatan (PBT) itu terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan institusi kewangan dan Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad kerana gaji yang diterima tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi.

Difahamkan, jumlah tuntutan elaun lebih masa yang belum dijelaskan MBKT tertunggak sejak September tahun lalu mencecah antara RM1,500 dan RM3,000.

Seorang pekerja am bahagian tempat letak kereta berkata, kegagalan MBKT menjelaskan tunggakan tuntutan elaun lebih masa menyebabkan ada antara rakannya terpaksa membuat pinjaman peribadi dengan pelbagai institusi kewangan.

“Saya pernah bertanya dengan bahagian kewangan mengenai tuntutan elaun lebih masa yang tertunggak sejak September tahun lalu, alasan diberikan amat mendukacitakan apabila pegawai berkenaan memaklumkan MBKT tidak mempunyai sumber kewangan,” katanya yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang akan dikenakan tindakan tatatertib.

Seorang lagi pekerja am MBKT berkata, pegawai bahagian kewangan ketika dihubungi memberi alasan duit yang ada hanya cukup untuk membayar gaji bulanan.

Katanya, lebih mendukacitakan beberapa pegawai di bahagian kewangan apabila ditanya mengenai tunggakan elaun lebih masa hanya memberi dua pilihan iaitu bayaran gaji atau tuntutan elaun lebih masa.

“Kami memohon jasa baik kerajaan negeri campur tangan dalam menyelesaikan masalah tunggakan elaun lebih masa semua rakan susulan gaji dibayar tidak mampu menampung kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Seorang pemandu MBKT yang enggan namanya disiarkan berkata, pihak pengurusan meminta semua kakitangan tidak mendedahkan kepada umum mengenai kegagalan majikannya menjelaskan bayaran tunggakan tuntutan elaun lebih masa.

“Kami juga diberi amaran akan dikenakan tindakan tatatertib jika mendedahkan kepada umum mengenai kegagalan majikan menjelaskan tuntutan elaun lebih masa yang tertunggak sejak September tahun lalu,” katanya.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A Rahman Yahaya ketika ditanya mengenai keresahan dan kegelisahan mengenai tunggakan tuntutan bayaran elaun lebih masa pegawai dan kakitangan MBKT berkata, isu itu tidak sewajarnya berlaku.

“Saya akan minta Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok menyelesaikan segera masalah tuntutan elaun lebih masa kakitangannya secepat mungkin dan menyiasat punca MBKT gagal membayar elaun lebih masa sehingga tertunggak sejak September tahun lalu,” katanya. – BH

Related posts

Leave a Comment