Pemohon RTB akan dipanggil temuduga, tawaran bermula Disember 2017

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu akan mula menjalankan temuduga kepada pemohon Skim Khas Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah dalam masa terdekat.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sesi temuduga akan dijalankan selepas segala proses yang berkaitan berhubungan penawaran tanah berjumlah 5,939 lot itu selesai sepenuhnya.

Katanya, tawaran tapak rumah itu akan dibuat bermula Disember 2017.

“Alhamdulillah, proses tapisan telah selesai dibuat dan permohonan yang layak akan dipanggil untuk sesi temuduga dalam masa terdekat.

“Selepas itu, mana-mana permohonan yang berjaya dalam sesi temuduga dibawa ke mesyuarat majlis daerah dan seterusnya ke mesyuarat exco sebelum tawaran diberi bermula bulan Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bertemu Pelanggan ‘Cakna Rakyat’ Daerah Kuala Terengganu di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Yasin Awang dan Pegawai Penyelaras DUN Ladang merangkap Ketua Umno Kuala Terengganu, Dato’ Mohd Sabri Alwi.

Ahmad Razif berkata, pihak PTG menerima permohonan di luar jangkaan dengan lebih 45,000 pemohon dari seluruh negeri.

“Walaupun menerima jumlah permohonan yang tinggi, kita cuba menygerakan proses kelulusan secepat yang mungkin. Disamping itu, kita juga akan membuka permohonan lot-lot tanah kosong yang baharu dalam kepada rakyat Terengganu tidak lama lagi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment