Pengurus besar PPN Terengganu didakwa palsukan invois

KUALA TERENGGANU – Bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung penyelenggaraan kenderaan milik agensi itu berjumlah RM1,140 pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya, 54, yang ditukarkan ke PPN Kelantan baru-baru ini membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Che Sa’adon didakwa memperdaya PPN Terengganu dengan mengemukakan tuntutan palsu berhubung penyelenggaraan kenderaan di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kota Bahru, Kelantan.

Tertuduh didakwa menukar invois tersebut kononnya melibatkan penukaran alat ganti bagi kenderaan pacuan empat roda, Toyota Furtuner milik PPNT tetapi sebenarnya penyelenggaraan itu dilakukan pada kereta Toyota Wish milik peribadinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat PPN Terengganu di sini pada 25 Januari 2016.

Che Sa’adon didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Related posts

Leave a Comment