Persidangan DUN Muda GPMS 2017 Gilap Pembangunan Bakat Belia

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Terengganu semalam telah berkesempatan meraikan pengamal-pengamal media yang terdiri dari media elektronik dan media cetak dalam satu majlis makan malam ringkas bertempat di TY Hotel, Kuala Terengganu.

Menyedari peranan dan sumbangan media adalah penting  sebagai elemen utama di dalam membentuk pemikiran masyarakat; GPMS Terengganu telah mengambil inisiatif menganjurkan majlis Makan Malam GPMS bersama Media sebagai penghargaan kepada kumpulan penyampai maklumat di sini.

Memetik sebahagian ucapan Pengerusi GPMS Terengganu, saudara Tengku Haphiz bin Tengku Putera di dalam majlis tersebut, beliau telah mengupas kisah mengenai burung hud-hud di zaman kesultanan Nabi Sulaiman a.s. yang berfungsi sebagai medium di dalam konteks menyampaikan berita.

“Begitu juga ketika zaman Rasullulah s.a.w.; pendeklamasi syair-syair adalah ‘wartawan-wartawan’ yang selalu mendapat tempat sebagai agen yang berpengaruh kepada masyarakat. Dan Al-Quran pula telah diturunkan sebagai medium yang menjadi alternatif yang lebih baik lenggok bahasanya sekaligus merasionalkan syariat Islam di dalam ketamadunan bangsa ketika itu.”

Tengku Haphiz turut merakamkan setinggi penghargaan di atas kehadiran wakil-wakil media di majlis tersebut yang terdiri daripada wartawan dan blogger seterusnya menamakan media sebagai ‘Brotherhood’ (bersaudara) kepada GPMS.

Beliau dalam majlis yang sama juga mengumumkan Projek Pembangunan Bakat Belia yang pertama untuk belia Terengganu dengan menganjurkan program Persidangan Dun Muda GPMS 2017 yang akan berlangsung pada 23-24 Mei 2017 di Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Hanya seramai 32 orang peserta yang akan dipilih daripada puluhan permohonan yang diterima sebagai wakil pembahas. Apa yang lebih menarik, Sidang DUN Muda GPMS 2017 ini akan dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Mohd Zubir Embong. Program ini dijangka dapat memberikan pendedahan dan gambaran sebenar kepada golongan belia mengenai perjalanan dan prosedur sidang dewan sekaligus menanam ciri-ciri kepimpinan dalam diri.

GPMS turut berharap agar program sebegini dapat diperbanyakkan dari masa ke semasa selain menyasarkan kumpulan yang terpilih ini benar-benar mendapat manfaat ilmu dan kemahiran berpidato dengan lebih baik. – Terengganu Times

Related posts

Leave a Comment