Polis Terengganu berjaya selesai 65 peratus kes jenayah tahun ini

KUALA TERENGGANU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) Terengganu menjadi salah sebuah kontinjen di negara ini yang berjaya mencatatkan peratusan tertinggi dalam menyelesaikan kes-kes jenayah bagi tahun 2017 iaitu sebanyak 65 peratus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, peratusan tersebut adalah berdasarkan penyelesaian kertas siasatan, pertuduhan kes di mahkamah serta kes yang diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menurutnya, selain daripada usaha pihak polis mengekang perbuatan jenayah yang berlaku di negeri ini, kejayaan tersebut turut disumbang atas kerjasama diberikan oleh masyarakat setempat yang membantu menyalurkan maklumat.

“Bagi tahun 2017, polis Terengganu berjaya menangkap seramai 420 daripada 859 individu dikehendaki berdasarkan maklumat awam dan melalui Operasi Kesan yang dilancarkan.

“Berdasarkan senarai hebahan orang dikehendaki yang dimuat naik di Facebook rasmi IPK Terengganu setiap minggu, seramai 36 individu telah ditahan selain ada yang menyerah diri,” katanya pada sidang akhbar di IPK Terengganu di sini hari ini.

Tambah Fazlisyam, IPK Terengganu hari ini memuat naik sebanyak 50 lagi wajah individu dikehendaki termasuk seorang wanita berusia 56 tahun yang melakukan kesalahan dibawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan. – K! ONLINE

Related posts

Leave a Comment