Sirhajwan Guru Hebat Harumkan Nama Malaysia

SIAPA sangka seorang guru berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi anugerah Community Award for Citizenship di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Mohd Sirhajwan Idek, 30, yang merupakan guru dari Kolej Vokasional Keningau telah berjaya menandingi tujuh peserta lain dalam peringkat akhir sempena Global Educational Supplies and Solutions (GESS) Education Awards.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin meluahkan rasa bangga terhadap guru dari Sabah itu kerana telah melakar sejarah dengan membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Tahniah kepada Cikgu Sirhajwan Idek atas kejayaan beliau menjadi rakyat Malaysia pertama menang anugerah di GESS Education Awards apabila diumumkan sebagaipemenang Community Award for Citizenship,” katanya pada akhbar tempatan.

Sebelum ini Sirhajwan telah mencipta sejarah apabila menjuarai Anugerah Kecemerlangan Guru dalam bidang Keusahawanan dan Inovasi Antarabangsa.

Anugerah itu disampaikan sempena Persidangan Keusahawanan dan Inovasi Eropah di Novancia Business School di Paris, Perancis pada 22 September 2017.

Selain itu juga, beliau telah menerima anugerah antarabangsa yang diiktiraf seluruh dunia iaitu Macmillan Teachers at My Heart pada tahun 2016, Express Publishing IATEFL Scholarship 2017 dan National Techer Icon Award 2017.

Guru di Malaysia pastinya memberi pengaruh yang besar pada pelajar.  Boleh jadi seorang guru mampu melahirkan insan-insan hebat yang mampu membawa Malaysia dalam arus perdana. – MYNEWSHUB.CC/MIZE

Related posts

Leave a Comment