Bersedia ‘berdepan’ MB Terengganu, sudahkah PAS bersedia meyakinkan ahli sendiri?

Kuala Nerus – Pas Seberang Takir dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Zakaria Dagang Selasa lalu menyatakan sudah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan mana-mana calon UMNO dan BN  untuk PRU ke 14 termasuklah Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Namun dapatkah PAS mengekalkan keyakinan ahli-ahlinya bahawa ia masih lagi sebuah parti yang relevan dengan kini wujudnya tekanan dari pecahan parti tersebut iaitu Parti Amanah?

Ramai sedia maklum bahawa sebelum ini terdapat juga ura-ura yang mengatakan ada beberapa kepimpinan PAS Terengganu sendiri; dilihat pro kepada Parti Amanah dan menjadi punca utama perpecahan dalam kalangan ahli yang kini melarat tular, parah dan semakin merebak.

Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang), Syed Azman, (Batu Buruk) adalah antara nama-nama yang pernah disensasikan dan mewarnai politik Terengganu sebagai talam dua muka yang bertindak sebagai gunting dalam lipatan dalam organisasi politik tersebut.

Sikap bermuka-muka ini bagaikan memberikan tamparan yang hebat kepada PAS Terengganu yang dilihat enggan melepaskan DUN berkenaan dan meyakinkan ahli yang kononnya ia masih merupakan kubu-kubu kuat mereka. Biarpun begitu, PAS Terengganu dengan ego yang tinggi merelakan sahaja ahli-ahlinya disedut dan diserap sedikit demi sedikit oleh ‘biawak hidup’ yang dikatakan menjadi proksi kepada Parti Amanah.

Bagaimana pula dengan ADUN-ADUN di kawasan-kawasan yang lain? Paka, Sura, Rantau Abang? Betapa mudahnya Parti Amanah meloloskan diri melebarkan sayap di kawasan-kawasan tersebut. Adakah sentimen PAN telah merebak dek kerana ‘tiada kawalan’ oleh kepimpinan di sana?

Tidak mustahil bahawa mungkin juga ada kepimpinan yang bercadang untuk berpura-pura setia kepada PAS namun bermain kayu tiga dengan PAN bagi memenuhi tembolok dan kepentingan masing-masing. Apakah mereka-mereka ini yang juga diktegorikan sebagai ‘musang berbulu ayam’ oleh sebilangan ahli akan masih bersama PAS pada PRU ke 14 yang akan datang atau hanya akan menggunakan dan mempergunakan tiket PAS sahaja sebagai batu loncatan bagi memperolehi kerusi.

Parti Amanah yang pernah dilabel sebagai pengkhianat oleh PAS pula hari ini bergerak seiring dengan Parti KeAdilan Rakyat yang semakin berani ‘melanggar kawasan’ dan membuat kenyataan untuk mempertaruhkan lebih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, termasuk kawasan ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. PKR yang sebelum ini hanya memegang satu kerusi di DUN Bandar dan diwakili oleh Azan Ismail, kini tampil lebih lantang memberikan mesej rampasan kuasa kepada parti PAS.

Azan juga yakin dengan sepenuhnya calon-calon PKR dapat merampas kerusi yang dipertandingkan termasuk yang dikuasai PAS memandangkan PKR merupakan parti paling dominan dalam pembangkang. Dalam senario politik pada hari ini, tanpa PAS Terengganu menyertai gerakan pembangkang; ianya tidak akan menjadi mudah dan pastinya sesuatu yang amat getir bagi PAS.

Dilema dan tekanan demi tekanan yang diberikan oleh golongan yang pernah dilabel pengkhianat ini menyebabkan PAS Terengganu hilang fokus untuk mengembalikan keyakinan ahlinya. Hendak bersama bimbang pula dikatakan MELUDAH JILAT SEMULA. Mahu tak mahu terpaksalah sendirian berkokok megah kononnya masih gagah walaupun hakikat sebenar semakin lemah.

Malah PAS Terengganu sepatutnya harus bersedia berhadapan dan meyakini ahli-ahlinya terlebih dahulu bahawa organisasi itu masih kekal relevan sebagai sebuah parti politik sebelum membongak bongkak kononnya telah bersedia secara total untuk berdepan Barisan Nasional dan kepimpinan negeri  Terengganu sendiri, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman. – Artikel dari Penganalisa Politik ; Wan Abas Wan Seman

Related posts

Leave a Comment