Tahukah Anda Siapa Bersih, Senggara Hajar Aswad

MAKKAH – Cium Hajar Aswad menjadi impian setiap jemaah haji atau umrah, disebabkan nilai sejarahnya yang tinggi dan keinginan umat Islam untuk rasa ‘dekat’ dengan Nabi Muhammad SAW.

Jika anda antara yang beruntung dan pernah mengucup Hajar Aswad atau dalam bahasa Melayu diterjemahkan sebagai Batu Hitam, anda mungkin teringat-ingat baunya yang semerbak harum.

Namun adakah anda tahu, siapakah yang membersih dan menyenggara Hajar Aswad tersebut utuk dicium oleh begitu ramai jemaah setiap hari sepanjang tahun berkurun-kurun lamanya?

Selama lebih seratus tahun, keluarga Sheikh Mahmoud Badr, iaitu salah satu sheikh terkemuka di Makkah, memikul tanggungjawab menyenggara dan menjalankan pemeriksaan susulan dari semasa ke semasa ke atas batu itu.

“Batu hitam itu bentuknya bujur, sebesar saiz kepala (orang) dan diletakkan bingkai perak pada bahagian luarnya,”kata Faisal, seorang tukang emas dan anak kepada Sheikh Mahmoud Badr.

Faisal dan anak-anak yang kini malah mengikut jejak langkahnya menjalankan penyenggaraan ke atas Hajar Aswad memastikan mereka tidak terlepas pandang walau satu pun bahagian batu itu yang perlu dibaiki.

Setiap kerosakan juga dibaiki dengan segera, lapor laman portal tempatan terkenal Al Arabiya. Menurut Faisal, batu itu seperti yang disebut dalam kitab-kitab sejarah terletak pada bahagian tengah.

“Ramai yang menyangka semuanya batu, tetapi tidak. Tujuh Batu Hitam (Hajar Aswad) itu diletakkan pada bahagian tengah dan semua tujuh batu dilekatkan supaya tiada yang boleh mengalihkannya,” jelas Faisal.

Beliau juga mendedahkan bahawa tempoh penyenggaraan lazimnya bergantung kepada sejauh mana tahap kerosakan yang berlaku pada batu tersebut.

 

 

“Tempohnya boleh mengambil masa setengah jam atau kurang atau boleh mencecah dua jam,” katanya sambil menambah ia dijalankan antara tiga hingga lima kali setahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

 

Related posts

Leave a Comment