Tiga penjenayah maut berbalas tembakan dengan polis (7 Gambar)

TAWAU – Polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai terlibat jenayah dan pengganas dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah ladang sawit, Blok 22, Jalan Kalabakan-Keningau di sini hari ini.

Dalam kejadian lebih kurang 3.20 petang tersebut, bertindak atas maklumat pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengekori sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang dinaiki kesemua suspek dalam keadaan mencurigakan di Batu 2, Jalan Kalabakan-Keningau dekat sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Fadil Marsus berkata, menyedari kehadiran pihak polis, pemandu yang belum dikenalpasti identitinya memecut laju kenderaan terbabit menuju ke arah Batu 3.

“Kemudian, suspek membelok pula masuk ke sebuah ladang sawit, Blok 22 dan berhenti lebih kurang satu kilometer dari Jalan besar Kalabakan-Keningau.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40-an itu bertindak agresif dengan melepaskan beberapa das tembakan sehingga menyebabkan anggota polis cuba mencari tempat berlindung,” katanya hari ini.

Tambah Fadil, semasa kejadian berbalas tembakan salah seorang suspek, 40-an yang berada di bahagian penumpang belakang berlari keluar dari kereta menuju ke kawasan ladang sawit sambil melepaskan tembakan menggunakan senjata jenis Rifle sepanjang 5.56 milimeter.

Selepas mendapati tiada lagi ancaman tembakan daripada ketiga-tiga suspek, polis segera melakukan pemeriksaan dan mereka disahkan maut di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol revolver, senjata Rifle dan sebilah pedang samurai disyaki digunakan suspek. Turut ditemui sarung tangan dan topeng,” jelasnya.

Fadil memberitahu, pihaknya kini sedang mengenal pasti identiti suspek. Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau dan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah juga berada di tempat kejadian untuk membantu siasatan. – K! ONLINE

Related posts