‘Top Box’ Percuma Untuk Rakyat Nikmati Siaran TV Digital

Sejumlah dua juta set “top box” akan dibekalkan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka menikmati siaran televisyen (TV) digital apabila ia dilaksanakan kelak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dalam laporan Bernama berkata set “top box” percuma itu akan diberi kepada mereka yang tersenarai sebagai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan program E-Kasih.

“Bagi tujuan pelaksanaan TV digital ini, kita sedia maklum bahawa siaran digital ini tidak boleh diterima televisyen biasa yang menggunakan sistem analog. Ramai masyarakat luar bandar tidak mempunyai sistem Astro, mereka perlu dibantu.

“Salah satu daripada syarat yang dipersetujui dengan pihak pembekal dan pelaksana perkhidmatan adalah menyediakan set ‘top box’ secara percuma bagi membolehkan golongan ini turut menerima siaran TV digital,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing).

Abd Latiff ingin tahu sama ada kerajaan menyediakan bantuan atau insentif bagi meringankan beban pengguna terutama penduduk miskin luar bandar bagi menikmati siaran TV digital yang akan dilaksanakan tahun ini.

Ahmad Shabery berkata penggunaan TV digital yang bakal dilaksanakan itu selaras dengan perkembangan trend penyiaran dunia yang membolehkan penggunaan spektrum gelombang radio yang lebih optimum dan efisyen.

“Ini membolehkan lebih banyak rancangan interaktif dan siaran video yang lebih berkualiti,” katanya.

Beliau berkata transmisi ujian siaran TV digital itu dijangka akan bermula hujung bulan ini dengan menggunakan stesen pemancar Bukit Pelindung di Kuantan, Bukit Besar di Terengganu dan Machang di Kelantan.

“Persiapan dari segi pelaksanaan infrastruktur dan sebagainya dijangka akan siap pada hujung tahun depan di mana kawasan Lembah Klang adalah kawasan yang terakhir sekali memandangkan banyak pembangunan dan kos diperlukan,” kata anggota Parlimen Kemaman itu.

Kepada soalan tambahan Abd Latiff mengenai persediaan kerajaan agar proses peralihan sistem TV analog kepada sistem TV digital tidak tertangguh separuh jalan, Ahmad Shabery berkata kerajaan akan meneliti mengenai perkara itu dan melihat bentuk kawal selia yang perlu diberikan kepada stesen-stesen televisyen di negara ini.

“Soal separuh jalan tidak timbul kerana akhirnya dijangkakan antara 2018 hingga 2020 siaran analog yang ada sekarang mesti dihentikan kerana sebahagian daripada spektrum itu akan digunakan untuk tujuan lain.

“Ertinya mahu tidak mahu kita kena hentikan siaran TV analog seperti mana kita hentikan siaran hitam putih. Dan ini tidak ada pilihan, semua kena berhijrah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment