(Video) Ibu Nina Grace Redha Anak Peluk Islam, Bapa Belum Bersedia

Keazaman pelajar Woo Nina Grace untuk memeluk Islam di hadapan penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik memberi kejutan kepada ibu bapanya yang tinggal di Pasir Gudang, Johor.

Grace, 19, berkata ibunya yang mengetahui penukaran agamanya melalui laman sosial dapat menerima pengkhabaran itu namun tidak bagi bapanya.

“Mengenai keluarga saya, ibu bapa memang terkejut apabila mendapat tahu saya memeluk Islam kerana sebelum ini saya mendalami ajaran Islam termasuk membaca beberapa surah Al-Quran secara rahsia tanpa pengetahuan mereka.

“Ibu dan ayah tidak tahu saya ingin memeluk Islam sehinggalah video dan berita mengenai hal ini tersebar di media dan laman sosial.

“Walaupun terkejut, ibu dapat menerima keputusan yang saya buat ini tetapi ayah masih belum sedia menerimanya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Remaja perempuan itu, yang ibunya berasal dari Filipina dan bapanya dari Johor, mengakui telah mula mengkaji tentang Islam ketika berusia 13 tahun.

Pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari sebuah kolej swasta berkata nama yang sesuai selepas penghijrahannya sudah dipilih namun ia masih dalam perbincangan.

Katanya, selepas memeluk Islam, dia akan berusaha menuruti segala ajaran agama yang ditetapkan.

“Insya Allah saya akan cuba menjadi seorang muslimah yang baik dengan mengikuti ajaran ditetapkan termasuk berhijab.

“Selepas bergelar seorang Muslim, saya ada beberapa nama Islam untuk digunakan tetapi lebih berminat kepada Nur Nina Farisha, ia masih dalam perancangan,” dia dilaporkan berkata.

Related posts

Leave a Comment